Pakej Lengkap Web Jualan - Klik sini ! ?

SKMM Pantau Laman Blog

27 05 2008

keratan akhbar tempatanKERAJAAN tidak bercadang untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau laman blog di internet dan perbuatan penulis blog yang tidak bertanggungjawab kerana garis panduan mengenainya sudah sedia ada. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai peruntukan mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. “SKMM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik, pengendali atau penulis blog yang menyalahgunakan internet sebagai platform menabur fitnah jika siasatan menunjukkan mereka melanggar undang-undang negara,” katanya ketika menjawab soalan Senator Sharifah Azizah Syed Zain di Dewan Negara, semalam.

Salang berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) mengandungi peruntukan melarang penerbitan kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera, atau mengganggu sesiapa seperti dilakukan beberapa penulis blog di negara ini. Selain AKM katanya, ada juga beberapa peruntukan jenayah lain yang boleh diguna pakai untuk membanteras kegiatan haram secara online termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993, Akta Syarikat 1965, Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989 dan Akta Industri Sekuriti 1983. “Selain SKMM, beberapa pihak berkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga boleh mengambil tindakan terhadap laman blog tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, orang perseorangan juga boleh mengambil tindakan persendirian terhadap laman blog atau penulisnya mengikut peruntukan undang-undang antaranya bagi kesalahan memfitnah atau melanggar hak cipta. “Mereka yang teraniaya atau menjadi mangsa penulis blog hendaklah membuat aduan kepada SKMM bagi membolehkan agensi terbabit memulakan siasatan, dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya. Sehingga kini, katanya 22 laman web dan blog disiasat kerana menyiarkan kandungan bersifat jelik, sumbang, fitnah, lucah dan palsu. Daripada jumlah itu, SKMM mengemukakan tiga kertas siasatan dan mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, katanya kebanyakan usaha untuk menyiasat laman blog dan penulisnya sukar kerana kebanyakan laman web berkenaan menggunakan platform di luar negara.

* Artikel ini dipetik dari Berita Harian Online 27 Mei 2008

Ulasan saya :

Pemilik blog atau penulis blog harus menjaga adab dan peraturan di dalam penulisan mereka. Jangan sewenang-wenangnya menerbitkan penulisan yang berbaur sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera atau mengganggu sesiapa.

Akta perundangan yang digunapakai berkenaan dengan blog :

  1. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM)
  2. Akta Hasutan 1948
  3. Kanun Keseksaan
  4. Akta Hak Cipta 1987
  5. Akta Jualan Langsung 1993
  6. Akta Syarikat 1965
  7. Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989
  8. Akta Industri Sekuriti 1983
Share This Post


Blog : Jangan Disalahertikan

25 05 2008

Salam semua,

Saya terpanggil untuk membuat ulasan berkenaan peranan blog yang sedang hangat diperkatakan sekarang, lebih-lebih lagi selepas PRU (Pilihan Raya Umum) ke-12 baru-baru ini.

Blog merupakan platform atau medium penyampaian maklumat yang amat berkesan pada masa kini. Pelayar internet atau pembaca lebih cenderung untuk membaca penulisan di blog kerana ianya mudah diakses di mana-mana sahaja menggunakan internet.

Pendapat yang mengatakan blog adalah politik bebas atau sebaliknya, adalah bergantung kepada kandungan maklumat atau penulisan di sesuatu blog tersebut. Blogger politik lebih cenderung untuk membincangkan tentang senario politik semasa di Malaysia dalam penulisan di blog mereka. Sudah tentu blogger tersebut akan ‘pro’ kepada parti politik yang disertainya atau disukainya, manakala sebaliknya akan ‘kontra’ kepada parti politik lawannya.

Pada pendapat saya, blog tidak harus dipandang sebagai platform untuk membincangkan isu-isu politik semata-mata, kerana banyak lagi blog di Malaysia yang tidak menyentuh langsung berkenaan perkara tersebut. Antara lain, banyak juga blog yang membincangkan tentang hobi, sesuatu perkara yang suka dilakukan, mencari kenalan dan bertukar-tukar pendapat akan sesuatu perkara atau topik yang dibincangkan.

Persepsi masyarakat tentang blog sebagai medium atau platform untuk ‘percakaran’ politik semata-mata harus diperbetulkan. Banyak lagi tujuan ber ‘blogging’ seperti untuk tujuan perniagaan, perkongsian ilmu, pemasaran (marketing) dan lain-lain. Terpulang kepada setiap individu tersebut.

Apa pendapat anda?

Share This Post


Salam Perkenalan …

24 05 2008

‘Salam perkenalan’ kepada pengunjung blog ini.

Blog ini baru sahaja dibina dan dilancarkan pada Mei 2008 hasil usaha saya mempelajari teknik ‘blogging’ yang tak seberapa dari rakan-rakan online dan pembacaan. Sebelum ini saya hanya menggunakan blog percuma sebagai platform untuk menulis dan bertukar pendapat. Memang terasa kelainan dan kepuasannya apabila menggunakan blog sendiri.

Tidak banyak yang dapat diterangkan mengenai diri saya, dan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh baca di sini

“Jadikan saya rakan blogger anda”

- Olie

Share This Post