SKMM Pantau Laman Blog
- 2 Comment
KERAJAAN tidak bercadang untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau laman blog di internet dan perbuatan penulis blog yang tidak bertanggungjawab kerana garis panduan mengenainya sudah sedia ada. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai peruntukan mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. “SKMM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik, pengendali atau penulis blog yang menyalahgunakan internet sebagai platform menabur fitnah jika siasatan menunjukkan mereka melanggar undang-undang negara,” katanya ketika menjawab soalan Senator Sharifah Azizah Syed Zain di Dewan Negara, semalam.
Salang berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) mengandungi peruntukan melarang penerbitan kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera, atau mengganggu sesiapa seperti dilakukan beberapa penulis blog di negara ini. Selain AKM katanya, ada juga beberapa peruntukan jenayah lain yang boleh diguna pakai untuk membanteras kegiatan haram secara online termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993, Akta Syarikat 1965, Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989 dan Akta Industri Sekuriti 1983. “Selain SKMM, beberapa pihak berkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga boleh mengambil tindakan terhadap laman blog tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, orang perseorangan juga boleh mengambil tindakan persendirian terhadap laman blog atau penulisnya mengikut peruntukan undang-undang antaranya bagi kesalahan memfitnah atau melanggar hak cipta. “Mereka yang teraniaya atau menjadi mangsa penulis blog hendaklah membuat aduan kepada SKMM bagi membolehkan agensi terbabit memulakan siasatan, dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya. Sehingga kini, katanya 22 laman web dan blog disiasat kerana menyiarkan kandungan bersifat jelik, sumbang, fitnah, lucah dan palsu. Daripada jumlah itu, SKMM mengemukakan tiga kertas siasatan dan mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, katanya kebanyakan usaha untuk menyiasat laman blog dan penulisnya sukar kerana kebanyakan laman web berkenaan menggunakan platform di luar negara.
* Artikel ini dipetik dari Berita Harian Online 27 Mei 2008
Ulasan saya :
Pemilik blog atau penulis blog harus menjaga adab dan peraturan di dalam penulisan mereka. Jangan sewenang-wenangnya menerbitkan penulisan yang berbaur sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera atau mengganggu sesiapa.
Akta perundangan yang digunapakai berkenaan dengan blog :
- Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM)
- Akta Hasutan 1948
- Kanun Keseksaan
- Akta Hak Cipta 1987
- Akta Jualan Langsung 1993
- Akta Syarikat 1965
- Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989
- Akta Industri Sekuriti 1983
2 Comments on this post
Trackbacks
-
zool said:
Nak tanya sikit.. Jelik tu camner?? Tak faham..
May 28th, 2008 at 12:31 pm -
olie said:
Hi Zool, ‘jelik’ tu macam mengata, mengeluarkan perkataan kesat atau memburuk-burukkan seseorang.
May 28th, 2008 at 7:51 pm








