Powered by Max Banner Ads 
Jun 4 2008

Apa Itu Blog?

Blog! Blog! Blog!

“BLOG”….Satu perkataan yang semakin ‘glamour’ sejak akhir-akhir ini. Sana sini orang memperkatakan tentang blog. Pihak RTM juga menyiarkan satu slot khas berkaitan blog. Tetapi, apakah kita benar-benar faham maksud ‘blog’?

Blog atau dengan kata lain weblog adalah satu portal online yang digunakan untuk menyatakan pendapat peribadi mengenai pelbagai perkara. Blog akan sentiasa dikemaskini pada setiap hari atau setiap minggu. Konsep blog adalah seakan-akan sebuah diari harian anda.

Aktiviti penulisan dan pengurusan blog dikenali sebagai “blogging”. Manakala orang yang memiliki, menulis artikel dan menguruskan blog pula dikenali sebagai “blogger”. Blog sangat mudah digunakan dan diuruskan oleh sesiapa sahaja tanpa memiliki pengetahuan teknikal yang mendalam. Ini kerana blog telah dilengkapi dengan pelbagai fungsi. Pengurusan dan penulisan di dalam blog adalah mudah seakan-akan menggunakan perisian yang biasa anda gunakan seperti di dalam Microsoft Office.

Blog seperti juga laman web biasa perlu dikemaskini dari masa ke semasa. Tajuk yang anda tulis perlulah menarik, padat dan bermaklumat supaya pelawat sentiasa mengunjungi blog anda. Pada masa kini, blog semakin diberi perhatian dan dimanfaatkan oleh pengguna-pengguna blog untuk menghasilkan pendapatan. Blog sudah mula digunakan sebagai alat untuk berniaga. Ia digunakan sebagai tempat untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijual.

Perisian Blog

Blog menggunakan perisian yang tertentu yang begitu banyak di pasaran sekarang samada yang percuma mahupun yang berbayar. Perisian blog ini juga dipanggil blogware atau blog software. Antaranya adalah seperti blogger.com, wordpress.com, bblog, tblog.com dan typepad.com.

Ciri Sesebuah Blog

Ciri utama sebuah blog ialah setiap kali anda mengemaskini atau memasukkan artikel baru, artikel itu akan berada di atas ruangan halaman web blog anda. Manakala artikel yang sebelumnya akan berada di bawah. Dengan ini pembaca akan melihat artikel baru yang anda tulis / publish sebaik sahaja mereka memasuki blog anda. Selain itu, setiap artikel baru yang anda tulis, tajuknya akan diletakkan di sebelah kiri atau kanan halaman weblog anda – bergantung kepada format / template blog yang anda gunakan. Ruangan tersebut di kenali sebagai “sidebar”. Keseluruhan tajuk artikel yang telah anda tulis juga akan berada di bahagian tersebut. Ini memudahkan pelawat untuk mencari maklumat dengan tajuk yang berkaitan. Ruangan “sidebar” ini juga merupakan tempat yang sangat digemari dan sesuai untuk meletakkan banner atau iklan produk dan perkhidmatan yang anda jual. Ini kerana ruangan tersebut senang dilihat oleh pelawat blog anda.

Blog juga membolehkan pelawat memberikan komen atau pandangan mereka terhadap sesuatu artikel yang anda hasilkan. Inilah satu ciri yang membezakan blog dengan laman web biasa kerana sesiapa sahaja yang membaca blog anda boleh memberikan komen dan pandangan mereka. Memandangkan blog lebih mudah dan sentiasa dikemaskini, maka enjin carian (search engine) lebih mudah meng-index laman web jenis blog ini. Enjin carian lebih cepat membuat ‘crawling’ terhadap artikel baru yang dimasukkan di dalam blog. Ini kerana enjin carian lebih menyukai maklumat yang terkini dan tepat.

Jenis, Fungsi dan Kepentingan Blog

Melalui blogger.com, selain ia memberikan perkhidmatan membina blog secara percuma, ia juga mudah untuk dikendalikan. Terdapat banyak yang boleh anda lakukan dengan blog di blogger.com. Sifat inilah yang menjadikan blog mempunyai fungsi dan kepentingan tersendiri bergantung kepada tujuan seseorang menghasilkan blog tersebut.

Berikut merupaka beberapa fungsi dan kepentingan blog :

1. Personal Blog

Blog jenis ini merupakan blog yang digunakan sebagai tempat untuk meletakkan maklumat peribadi dan yang berkaitan dengannya. Biasanya ia dihasilkan sebagai satu diari untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan mereka yang ingin mengenali diri seseorang itu. Memandangkan ia dianggap sebagai satu diari, maklumat dan tajuk yang diletakkan dan dibincangkan di dalam blog tersebut berkisar dengan aktiviti harian, hobi, gambar bersama rakan-rakan dan yang berkaitan dengan maklumat peribadi. Selain itu, personal blog juga digunakan sebagai tempat untuk memberikan pendapat dan pandangan masing-masing berkaitan dengan sesuatu tajuk. Ada juga dikalangan mereka ini yang menulis rasa tidak puas hati mereka dan mengkritik terhadap sesuatu perkara.

2. Blog Untuk Perniagaan

Jenis blog yang kedua ialah blog yang dihasilkan untuk tujuan perniagaan. Blog ini digunakan sebagai tempat untuk mempromosikan dan memasarkan produk atau perkhidmatan yang anda jual. Kandungan dan maklumat yang ditulis di dalam blog adalah berkaitan dengan isi kandungan sesuatu produk atau perkhidmatan, matlamat dan kelebihan produk tersebut serta penerangan yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan yang diberikan.

Ada juga yang menulis blog ini sebagai laman web sampingan atau sokongan untuk tujuan promosi produk dan perkhidmatan mereka selain laman web perniagaan utama mereka. Cara ini sebagai satu strategi pemasaran yang boleh dianggap berkesan. Untuk mendapatkan trafik yang tinggi dan memastikan pelawat sentiasa melawati blog anda, anda perlu memberikan maklumat dan kandungan terkini yang berterusan dengan pelbagai tajuk dan kandungan yang niche.

3. Blog artikel (kandungan niche)

Blog yang berbentuk artikel ialah blog yang ditulis berkaitan dengan sesuatu kandungan, maklumat dan panduan tertentu. Pelbagai tajuk dan artikel yang boleh ditulis dalam blog ini termasuklah artikel berkaitan dengan perniagaan internet, pemasaran, komputer, internet, teknologi telekomunikasi dan sebagainya.
Sebenarnya blog jenis ini juga boleh anda gunakan sebagai tempat untuk promosi produk anda atau produk affiliate yang anda sertai.

Program “google adsense” juga boleh anda selitkan di dalam blog ini sebagai pendapatan sampingan lain. Ini bermaksud blog ini lebih kurang sama dengan blog untuk tujuan perniagaan. Namun perbezaanya ialah blog ini lebih kepada maklumat menyeluruh dengan tajuk yang lebih luas dan pelbagai. Blog ini bukan sahaja tempat untuk perniagaan tetapi juga memberikan anda panduan dan maklumat berguna tentang pelbagai perkara. Blog jenis ini tidak tertumpu semata-mata untuk tujuan perniagaan sahaja.

4. Blog untuk iklan produk atau perkhidmatan

Sebenarnya jenis blog yang ke empat ini ada kaitan dengan jenis blog yang kedua dan ketiga. Ini kerana ia dihasilkan ada kaitan juga dengan perniagaan. Namun ia lebih kepada tujuan iklan sesuatu produk dan perkhidmatan yang anda jual. Terdapat banyak bentuk pengiklanan dan tujuan pengiklanan di Internet. Selain untuk iklan produk dan perkhidmatan anda, anda juga boleh meletakkan iklan produk affiliate yang anda sertai. Satu lagi bentuk pengiklanan yang mudah dan boleh menghasilkan pendapatan ialah menyertai program pengiklanan “google adsense” dan “adbrite”.

Jika dilihat daripada semua jenis blog yang dibincangkan di atas, dapat dilihat blog yang pertama dengan blog kedua, ketiga dan keempat jauh berbeza. Blog pertama lebih kepada personal, manakala tiga blog berikutnya lebih kepada tujuan perniagaan Internet.

Namun bagi mereka yang menumpukan kepada blog untuk tujuan perniagaan Internet dan menghasilkan pendapatan, saya lebih menyarankan kepada anda untuk menggabungkan ketiga-tiga jenis blog tersebut iaitu blog untuk perniagaan, blog berbentuk artikel dan blog untuk iklan. Ini kerana dengan gabungan ketiga-tiga elemen ini lebih mendapat perhatian daripada peminat-peminat blog.

=======================================================

Itulah serba sedikit penerangan mengenai blog. Diharapkan artikel ini dapat memberikan maklumat dan input yang betul berkenaan blog.

Sesiapa sahaja perlu memiliki blog

Tidak kisah siapa diri anda, walaupun seorang tukang masak, penulis buku, peguam, ustaz, guru, pemandu teksi, ahli perniagaan, CEO, usahawan internet, pelajar, pesara, doktor, petani atau sesiapa sahaja, blog merupakan satu medium penyampaian maklumat yang amat berkesan. Ia dapat menambah kenalan, berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan yang pasti, ia adalah satu teknologi di Internet yang begitu ampuh sekali untuk digunakan bagi pelbagai tujuan dan matlamat. Maka, anda perlu memiliki sebuah blog sendiri.

Jika anda berminat untuk memiliki blog dot com anda sendiri, Pakej Kit Blogger dapat membantu anda.

Klik di sini untuk maklumat lanjut

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog